Jumaat, 23 Oktober 2009

intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama'


Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':

1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.

2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.

3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.

6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.

7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.

8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).

9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.

10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.

11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.

13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.

14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.

15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.

17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.

18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.

19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.

20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.

21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.

22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.

25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.

26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.

27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.

28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah. BERNAMA

baca lagi......

Jumaat, 16 Oktober 2009

Sujud Tilawah dan Sujud Syukur...

Sujud tilawah

sujud yang dilakukan di luar sembahyang apabila kita berjumpa dengan ayat-ayat sajdah, sama ada dibaca oleh diri sendiri atau didengar daripada orang lain.

Namun begitu sebarang bentuk rakaman seperti CD, kaset, TV, video, dan sebagainya, harus hukumnya melakukan sujud tilawah mahupun bertasbih. Harus di sini bermaksud pahala tiada, dosa pun tiada.

Ayat sajdah ialah ayat yang mempunyai perkataan sujud di dalamnya yang membawa maksud tertentu. Bagi kita orang Melayu yang tidak faham bahasa Al-Quran, terdapat cara yang tertentu untuk kita mengenali ayat-ayat sajdah ini.

Jika dalam Mashaf Uthmani (Quran Al-Karim), terdapat tanda seakan-akan kubah masjid di tempat yang perlu dilakukan sujud tersebut. Manakala bagi Quran Al-Majid (Quran lama) pula, ditulis perkataan ‘sajdah‘ di bahagian tepi ayat tersebut dalam tulisan jawi.



Syarat:

Syarat-syarat yang perlu ada sebelum melakukan sujud tilawah:
1-Ayat itu hendaklah dibaca sehingga habis. Untuk memudahkan kita, pihak pencetak Quran telah membuat tanda kubah masjid (bagi mashaf uthmani) atau perkataan ‘sajdah‘ (bagi quran al-majid). Jangan sekali-kali sujud sebelum sampai kepada tanda tersebut.

2-Suci dari hadas, iaitu tutup aurat dan berwudhuk. Sekiranya tiada wudhuk, dan tiada juga niat dari awalnya (contohnya kita terdengar seseorang membacanya), sujud tilawah ini boleh digantikan dengan tasbih 4x (SuhanaLlah walhamduliLlah walailahaillaLlah waLlahuakbar).

Pahalanya pula sama dengan sujud tilawah yang sempurna.

3-Tidak lama masa di antaranya, iaitu antara bacaan ayat sajdah tersebut dengan sujud tilawah yang hendak kita lakukan itu.

4-Mengadap kiblat. Tidak mengapa sekiranya ayat itu dibaca dengan tidak mengadap kiblat, cuma alihkan Quran (sekiranya ada) dan pusingkan tubuh supaya mengadap kiblat sebelum melakukan sujud tilawah.

Rukun:

Rukun adalah perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan perbuatan kita ini adalah sujud tilawah. Tinggal salah satu bermakna tiadalah fadhilat yang akan kita perolehi. Boleh jadi jatuh kepada berdosa pula.


1-Niat beserta takbiratul ihram
2-Berdiri atau duduk
3-Sujud sekali
4-Salam pertama

Antara Perkara Sunat:
1-Angkat kedua-dua belah tangan ketika takbiratul ihram
2-Bertakbir (Allahu Akbar) ketika turun untuk sujud
3-Membaca ayat sujud sajdah: ‘Sajada wajhialillazi…‘
4-Bertakbir ketika bangkit dari sujud
5-Salam yang kedua

Fadhilat:
Syaitan menangis semasa kita sujud.

Diceritakan dalam hadith dari Abu Hurairah (r.a.): Ertinya “Apabila anak Adam membaca ayat sajdah, dan ia sujud, maka Syaitan akan melarikan dirinya serta menangis lalu berkata: celaka ia, diperintah untuk sujud lalu ia sujud, dan baginya Syurga, dan aku pernah disuruh sujud tapi aku enggan dan bagiku neraka” (Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, no 133; dan Ibn Majah)
Salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk dalam solat.
Salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Ini kerana sehina-hina dan serendah-rendah martabat kita adalah sewaktu kita sujud kepada-Nya.


Sujud syukur
*Hanya sekali sujud sahaja. ia disunatkan diluar solat sahaja, ketika seseorang itu mendapat nikmat dan terhindar daripada bahaya.
*Rukun dan syarat sujud syukur sama sahaja dengan sujud tilawah / sajdah

baca lagi......

Jumaat, 2 Oktober 2009

Persoalan FIDYAH ....


Ramai yang bertanyakan tentang cara membayar fidyah bagi orang yang tidak mampu berpuasa disebabkan keuzuran tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Di bawah ini secara ringkas penjelasan pandangan-pandangan ulama dalam persoalan ini dan diterangkan juga tentang kadarnya dalam KG supaya mudah difahami dan diamalkan

1. Mazhab Malik dan al-Syafie berpendapat kadar fidyah ialah satu MUD (مد) bagi setiap hari yang ditinggalkan. Inilah juga pandangan Towus (طاووس), Said ibn Jubair, al-Thauriy dan al-Auzaie.


2. Mazhab Hanafi pula berpandangan kadar fidyah ialah sebanyak satu SO’ (صاع) Tamar, atau Barli atau setengah SO’ daripada Gandum yang diberi makan kepada orang-orang miskin.


3. Mazhab Hambali pula berpendapat satu MUD gandum atau setengah SO’ Tamar atau Barli. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, jld 32, ms 67)Kadar Fidyah dalam KG


Para ulama nampaknya berbeza pendapat dalam menentukan kadar fidyah. Ada yang kata satu SO’, ada pula yang kata satu MUD dan sebagainya. Kadar SO’ dan MUD itu pula berbeza-beza berdasarkan tempat.


Secara ringkas:

1. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (Jld 1, ms 350), berdasarkan mazhab al-Syafie menyebut:“(Fidyah) ialah memberi makan (orang miskin) bagi setiap hari satu MUD daripada makanan asasi setiap tempat. Disedekahkan kepada orang fakir… Adapun satu MUD menyamai sukatan yang memenuhi dua tapak tangan (حَفْنَة : ملء الكفين), dan seberat satu Ritl (رِطْلٌ) 1/3 berdasarkan Ritl Baghdad, ia menyamai lebih kurang 600 gram.”


Di dalam kamus al-Ghaniy (الغني) menyebut: Ritl menyamai 12 Uqiyyah (أُوقِيَّةً) atau 500 gram, dan ianya berbeza berdasarkan negeri.


2. Di dalam lamanweb islam-qa.com pula menyebut kadar fidyah itu ialah setengah (1/2) SO’ menyamai lebih kurang 1 kg setengah. Ini berdasarkan mazhab al-Hambali.


Pandangan Ulama SemasaDr. Yususf al-Qaradhawi berkata:
والفدية: طعام مسكين.قدره بعض الفقهاء بمقدار (مد) وهو ربع صاع وبعضهم بصاع من تمر أو طعام إلا القمح، فجعل منه نصف صاع.وبعضهم رأى إطعام المسكين ما يشبعه وهذا عندي هو الأرجح، وهو الذي أفتى به الصحابة وعملوا به مثل أنس، فقد أطعم بعد ما كبر عاما أو عامين عن كل يوم مسكينًا خبزًا ولحما وأفطر
Maksudnya:"Fidyah: Memberi makan orang miskin.Sebahagian fuqaha' berpendapat kadar fidyah ialah satu MUD bersamaan dengan 1/4 SO', manakala sebahagian yang lain berpendapat 1 SO’ Tamar, atau apa-apa makanan tidak termasuk gandum, jika dengan gandum ia menjadi 1/2 SO'. Sebahagian yang lain pula berpendapat (membayar fidyah dengan) memberi makan orang miskin dalam kadar yang mengeyangkan mereka. Inilah pandangan yang lebih rajih (benar) di sisiku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi).


Inilah yang telah difatwakan dan diamalkan oleh beberapa sahabat seperti Anas setelah dia uzur kerana tua selama setahun atau dua tahun dengan memberi makan setiap hari yang ditinggalkan seorang miskin dengan makanan roti (makanan asasi) dan daging.”

(sumber: al-Qaradhawi: Taisir al-Fiqh (Fiqh al-Siyam), ms. 70-71)


Cara membayar fidyah Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:
أما كيفية الإطعام، فله كيفيتان: الأولى: أن يصنع طعاماً فيدعو إليه المساكين بحسب الأيام التي عليه، كما كان أنس بن مالك -رضي الله عنه- يفعله لما كبر.الثانية: أن يطعمهم طعاماً غير مطبوخ، قالوا: يطعمهم مد بر أو نصف صاع من غيره، أي: من غير البر، ومد البر هو ربع الصاع النبوي... لكن ينبغي في هذه الحال أن يجعل معه ما يؤدمه من لحم أو نحوه، حتى يتم قوله تعالى: وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين
Maksudnya: “Adapun cara memberi makan (orang miskin), terdapat dua cara: Pertama: Membuat makanan dan menjamunya kepada orang miskin sebanyak hari yang ditinggalkannya, sepertimana yang dilakukan oleh Anas bin Malik RA ketika beliau uzur disebabkan tua.


Kedua: Memberi orang miskin makanan yang belum dimasak satu mud Barli atau setengah so’ dari makanan yang selainya (terdiri daripada makanan asasi), satu mud Barli menyamai ¼ so’ al-Nabawi…


Sewajarnya disediakan juga bersamanya lauk seperti daging atau seumpamanya, agar tertunainya firman Allah: “Dan ke atas orang-orang yang tidak mampu berpuasa, hendaklah dia memberi makan orang miskin.


”Bolehkah menggantikan fidyah dengan memberi duit?


Para ulama berbeza pendapat dalam masaalah ini. Lebih utama adalah memberi makan kepada orang miskin sebagai mematuhi asal arahan Allah SWT di dalam al-Quran.


Namun jika ada kesukaran yang tidak dapat dielakkan bolehlah seseorang mengambil pandangan mazhan Hanafi yang membenarkan dikeluarkan wang sebagai ganti memberi makan. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.


Wallahu a’lam

baca lagi......

Masalah FIdyah

Dasar fidyah ialah firman Allah Taala:"..Dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dsbnya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.." (al-Baqarah:184)Hukum fidyah:Hukumnya adalah wajib berdasarkan firman Allah taala di atas

Jumlah fidyah yang wajib dibayarJumhur ulamak mengatakan bahawa fidyah adalah sebanyak satu cupak makanan asasi di negeri tempatnya tinggal, untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan.


Sebab-sebab Fidyah:


1. Para ulamak bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak berdaya mengerjakan puasa, adalah wajib membayar fidyah. Seperti orang tua yang lemah dan sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Selain dari ayat al-Quran di atas, Ibnu Abbas ada menjelaskan bahawa perkara ini adalah satu rukhsah (keringan) dari ALlah Taala.


2. Para ulamak juga bersepakat mengatakan bahawa orang yang menderita sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh juga diwajibkan membayar fidyah. Dia tidak lagi diwajibkan berpuasa. Dasarnya ialah firman Allah Taala:"..Dan Ia tidak menjadikan kamu menganggung sesuatu keberatan dan susah oayah dalam perkara agama.." (Al-Hajj: 78)


3. Bagi perempuan yang hamil atau menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan anaknya, dia dibenarkan berbuka. Juga diwajibkan mengqadha' puasanya itu. Dan.. Menurut jumhur ulamak, dia juga diwajibkan membayar fidyah untuk setiap puasa yang ditinggalkannya. Ulamak Hanafi berpendapat sebaliknya, di mana perempuan di atas tidak perlu fiidyah.Masalah: Jika khuatirkan keselamatan diri sendiri.Dalam masalah ini, hanya wajib qadha' sahaja, tidak fidyah. Inilah pendapat semua ulamak. Dalilnya ialah ayat al-Quran di atas.


4. Mereka yang lewat mengqadha'kan puasa Ramadhan, sehingga datang Ramadhan berikutnya juga diwajibkan fidyah. Ini adalah pendapat Jumhur ulamak.


Sedangkan Hanafi, tidak berpendapat begitu. Mereka berpendapat tidak perlu fidyah.Dan jika kelewatan qadhak puasa itu kerana uzur, tidak wajib fidyah.


Masalah: Apakah fidyah bertambah dengan pertambahan tahun?

Menurut pendapat Ashah (terkuat) Syafi'i, ya bertambah dengan pertambahan tahun.

Alasan mereka ialah, kewajipan yang berbentuk harta tidak boleh disekalikan (jamak/himpunkan sekaligus).Maliki dan Hanbali berpendapat tidak berganda dengan pertambahan tahun. Mereka menyamakannya dengan hukuman hudud yang dikenakan sekaligus.-------------


Masalah: Kelewatan qadha' puasa hingga datang Ramadhan berikutnya -


Fatwa al-QardhawiDr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa sebahagian imam berpendapat dalam kes ini diwajibkan mengqadha' puasa berkenaan dan membayar fidyah satu mud untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan. Satu mud bersamaan dengan setengah kilogram lebih sedikit.Katanya,


inilah mazhab Syafi'i dan Hanbali yang berdasarkan kepada amalan sejumlah sahabat. Manakala sebahagian para imam yang lain tidak mewajibkan fidyah. namun qadhak tetap wajib dilaksanakan.


Masalah: Pendapat yang perlu diikutAl-Qardhawi mengatakan bahawa memberi fidyah adalah satu amalan yang baik, tetapi jika tidak membayarnya insyaallah tidak ada dosa atasnya. Ini adalah kerana tidak ada satupun riwayat yang sahih mengenainya dari Nabi s.a.w.


Kami berpendapat, kita di Malaysia ini, tidak ada salahnya kita beramal dengan mazhab Syafi'i, iaitu membayar fidyah atas kelewatan qadha' puasa.


Masalah: Ragu-ragu tentang jumlah puasa yang ditinggalkan

Hendaklah mengikut dugaannya yang lebih kuat dan yang lebih diyakininya. Namun, untuk menenangkan hatinya dan agar seseorang itu selamat dalam agamanya serta bebas dari tanggungan, maka hendaklah dia menentukan jumlah yang lebih banyak. Kerana ini akan mendapat tambahan pahala dan ganjaran.Sekian, wallahu a'lam.

zain y.s


Rujukan:

Mughnil Muhtaj, vol. 1, al-Khatib al-SyarbiniBujairimi Alal Khatib,vol. 2,

al-BujairimiI'anah al-Thalibin, vol 2,

al-SyathaFatawa Muashirah, vol 1,

al-Qardhawi Bidayatul Mujtahid, vol. 1,

Ibnu Rusyd

baca lagi......