Ahad, 18 Disember 2011

Gred Gaji DG1 SBPA (2012)



baca lagi......

Selasa, 6 Disember 2011

PEKELILING SISTEM SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM | SBPA 2012

Pekeliling Gaji SBPA 2012 baru akan keluar tidak lama sahaja lagi disebabkan Rang Undang- Undang Pembekalan 2012 telah pun diluluskan di Dewan Rakyat pada 23/11/2011 jam 10:33 malam yang lalu. Antara perkongsian maklumat yang diterima setakat ini berkenaan dengan dengan sistem gaji SBPA baru 2012 ialah :
Mana-mana kakitangan kerajaan yang dinilai tidak mampu menjalankan tugas secara fizikal dan mental, akan disarankan supaya berhenti. Manakala kepada kakitangan kerajaan yang cemerlang tetapi disebabkan tiada promotion jawatan dalam organisasi tersebut, anda dinasihatkan supaya bersara dengan berbekalkan PERKS yang lumayan.
Walaubagaimanapun, kepada sesiapa yang berada dalam pengurusan premier dijangka agak kurang selamat. Pencapaian mereka ini akan diukur berdasarkan outcome & kesan, bukan lagi output seperti yang sebelumnya.


Akan wujud pelbagai lapisan gred seperti berikut (secara kasar) :
Premier
Jusa
Pengurusan Tinggi
Pengurusan dan Profesional
Pelaksana


Kalau diikutkan gred Premier dan Pelaksana adalah merupakan gred baru yg diwujudkan bagi mewujudkan kategori penjawat awam yang telah digred semula mengikut keperluan organisasi.
Maksudnya kalau ambil gred bawah sekali iaitu Pelaksana, seseorang yang sekarang ini hanya bertugas sebagai pemandu, kenalah ada multiskill, mampu buat kerja tambahan yang lain seperti jadi tukang bancuh kopi, tukang photostat, tukang taip, tukang angkat telepon dan lain-lain lepas ini.

3) Skim SBPA Gaji Baru 2012. Penilaian Markah Penjawat Awam
Bagi sistem gaji SBPA yang baru ini, markah penilaian akan menentukan kenaikan gaji penjawat awam. Secara kasar akan dinilai seperti berikut :

Markah 95% keatas – kenaikan gaji adalah 15 %
Markah 85%-95% – kenaikan gaji adalah 8%
Markah 75 % – tiada kenaikan
Markah 70 % – disyorkan tamat perkhidmatan

4) Jadual Gaji SBPA 2012 Baru : Sistem Gaji Baru
Mengikut formula yang digunakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas menjalankan kajian, secara kasarnya, gaji penjawat awam bermula daripada jawatan KSN adalah seperti berikut :
Ketua Setiausaha Negara – RM50,ooo
Premier – RM40,000
Jusa C – RM12,000
Pengurusan & Profesional – RM6,000
Pelaksana – RM3,000

Sukacita dimaklumkan bahawa Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditempatkan dan dihebahkan secara serentak menerusi portal/laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MAMPU dan semua kementerian apabila tiba masanya nanti.
Semua penjawat awam adalah dinasihatkan untuk mengutamakan capaian terus ke portal/laman web kementerian masing-masing bagi memastikan proses hebahan Pekeliling SBPA ini berjalan dengan lebih lancar dan berkesan. Ini dilakukan supaya tiada masalah untuk akses ke laman JPA akibat dari aliran trafik yang masuk ke laman JPA secara serentak.

Sumber

http://honeysour00.blogspot.com/2011/12/pekeliling-sistem-saraan-baru.html

baca lagi......

Ahad, 9 Oktober 2011

INTIPATI BAJET 2012


INTIPATI BAJET 2012

Jumlah bajet - RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion

Tahun lalu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia adalah paling kukuh di Asia bagi enam bulan pertama tahun ini dan mencecah RM21.2 bilion.Kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi terus mantap – antara 5 dan 5.5 peratus tahun ini. Pertumbuhan bagi 2012 dijangkakan antara 5 dan 6 peratus, meskipun ekonomi global diramalkan perlahan.
Defisit bajet buat kali ke-15 akan diturunkan kepada 4.7 peratus daripada GDP 2012.
Ini lebih kecil daripada 5.4% bagi 2011. Defisit berjaya dikurangkan daripada 7.4 peratus pada 2009 kepada 5.6 peratus pada 2010.
Peruntukan rancakkan pembangunan
Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek, iaitu lebuh raya JB-Nusa Jaya, muzium warisan Taiping, projek agropolitan Besut, projek tandan sawit Lahad Datu dan bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid
Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah
Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah.
RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan.

Manakala M100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara.

Felda
Peneroka Felda akan terima “durian runtuh”. Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012.

Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.

RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.

Yuran sekolah
Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan.

Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen

600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus.

Kakitangan awam

Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.

Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320

Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Polis
RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tentera
RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi

Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.

Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen

baca lagi......

Jumaat, 5 Ogos 2011

Program Ihya’ Ramadhan 1432H/2011M

Program Ihya’ Ramadhan 1432H/2011M Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam diadakan bermula 1 Ramadhan 1432H hingga 1 Syawal 1432H bersamaan 1 Ogos 2011 Hingga 30 Ogos 2011 bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Antara aktiviti utama yang akan diadakan adalah:-

1.Solat terawih berjemaah
2.Berbuka puasa dan bersahur
3.Penyampaian sumbangan fakir miskin
4.Tazkirah dan bicara keilmuan
5.Relay bacaan Al-Quran, majlis khatam Al-Quran, munajat dan bacaan Yasin
6.Sepetang di ambang iftar
7.Mubarak cafe dan bazar Al-Rahman






















Syeikh Ahmad Rajah Al-Fayummi dari Mesir sedang mengimmami
solat tarawikh di Qaryah Ramadhan




















Ucapan perasmian Qaryah Ramadhan Oleh YAB Dato Bentara Setia
Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Menteri Besar Kelantan pada
2 dan 3 Ramadhan 1431H




















Tadarus 10,000 Anak Muda Tamu Ramadhan Kelantan 1432H bermula hari ini di Qaryah Ramadhan, perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Kota Bharu.

baca lagi......

Jumaat, 4 Mac 2011

Katakan Tidak pada WAHABI


Istilah Wahhabiy begitu sinonim dengan sejarah peradaban Islam. Ia merujuk kepada aliran pemikiran yang dicetuskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang lahir pada tahun 1115H di Wadi Hanifah, daerah Uyainah dalam negeri Najd (kini Riyadh). Ayahnya Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Musyarraf seorang qadhi dalam mazhab hambali. Sayangnya, MAW tidak menelusuri disiplin ilmu sebagaimana lazimnya.

Buktinya, Imam Ibn Humayd al-Hanbali(mantan Mufti Mazhab Hambali di Makkah) menjelaskan bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab (MAW) tidak menguasai disiplin ilmu sebagaimana yang menjadi tradisi alim ulamak dan keluarganya pada waktu itu. Sebaliknya, MAW begitu fanatik dengan fahaman dua ulamak kontroversi dalam mazhab Hanbali iaitu: Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani dan Syeikh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Ditambah dengan beberapa pandangan keras Mazhab Hambali dan ijtihadnya sendiri, maka lihirlah fahaman Wahhabiy. Situasi ini menyebabkan ayahnya begitu murka kepada beliau. (Imam Muhammad bin Abdillah bin Ibn Humayd al-Hambali, wafat 1295), t.thn, Maktabah Imam Ahmad, hlm 275)

Perlu diketahui bahawa Muhammad Abdul Wahhab pada mulanya tidak menzahirkan secara terbuka fahamannya itu semasa ayahnya masih hidup kerana dikhuatiri menimbulkan amarah ayahnya. Akan tetapi, setelah kewafatan ayahnya, beliau mula giat menyebarkan fahamannya. Hal ini menyebabkan beberapa tokoh ulamak di zamannya bangkit bersuara dan berfirasat supaya masyarakat berhati-hati dengan dakyah Muhammad Abdul Wahhab. (Ibn Humayd, hlm 275). Walaupun firasat bukan hujjah qat'iyyah. Namun ia cukup dijadikan sandaran dgn Sabda Nabi SAW : "Takutlah kamu firasat dari orang-orang yang beriman (alim-ulamak) kerana dia melihat dengan cahaya dari Allah SWT."- riwayat Tirmidzi. Tambahan pula, kisah ini diriwayatkan oleh para alim ulamak muktabar. Dan ia boleh dikategorikan sebagai perawi yang tsiqah.

Malah, setelah kewafatan ayahnya,berlaku penyebaran fahaman Wahhabi yang mendatangkan fitnah kepada masyarakat, abangnya sendiri iaitu Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab telah mengarang dua buah kitab bagi menjelaskan kepincangan fahaman adiknya itu. Iaitu Kitab Fashlu al-Khitab Fi Raddi ala Muhammad Ibn Abdil Wahhab dan Sawa’iq al Ilahiyyah Fi Raddi ala Al-Wahhabiyyah. Dalam penolakan hujjah ilmiyyah ini, abangnya sendiri menjenamakan fahaman pelik adiknya itu dengan fahaman Wahhabiy.

Bagi saya, keterangan kitab ini cukup membuktikan bahawa Syeikh Sulaiman lah antara orang yang TERAWAL menjenamakan fahaman pelik adiknya dengan gelaran "Wahhabiy". Lafaz ini kemudian dipergunakan secara meluas oleh para alim ulamak, sejarahwan (timur & barat) dan awam masyarakat samada secara pro atau kontra. Seterusnya penjenamaan Wahhabiy ini terus digunapakai hingga ke hari ini. Justeru, istilah Wahhabiy sebenarnya telah didefinisikan ulamak dan sejarahwan. Dan ia bukan lagi misteri!. Keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa pandangan yang mengatakan ulamak tidak memberi definisi yang jelas terhadap wahhabiy adalah jauh tersasar dari fakta ilmiyyah.

Memandangkan kemunculan fahaman Wahhabiy disanggah para alim ulamak dan rekod hitam yang dimiliki gerakan ini, penjenamaan baru dirasakan perlu bagi menerapkan metodologi Wahhabiy. Jika anda mengkaji sejarah, gerakan ini terlibat dengan rentetan peperangan yang panjang hampir 200 tahun lamanya dengan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah sebelum mereka menguasai Jazirah Arab. Setelah Makkah dan Madinah dikuasai mereka hasil konspirasi politik dan campurtangan british, mereka mula memperkenalkan diri mereka dengan pelbagai jenama. Antaranya : Salafiy, Salafiyyah, Ikhwan al-Najd dan lain-lain. Fahaman ini kemudiannya dieksport ke serata dunia. Di Malaysia, pada zaman sebelum dan sesudah merdeka, mereka menggelarkan diri mereka dengan fahaman Pan Islamisme, Kaum Muda, Ittiba' al-Sunnah, Ansar al-Sunnah dan lain-lain.

Dan kini, mereka mendakwa mereka adalah golongan Tajdid, al-Sunnah, Protaz, Muslim progresif dan pelbagai istilah yang sedap didengar. Hakikatnya, mereka memperjuangkan metodologi yang sama seperti perjuangan MAW dahulu.Iaitu mengeksploitasi nusus mutsyabihaat, membid'ah dan menyesatkan umat Islam dengan isu furuk, mencetuskan ketegangan masyarakat dan bersifat radikal dalam memahami agama.

Awas! mereka ini akan menggunakan pelbagai sumber dan kekuatan untuk menerapkan fahaman mereka. Malah ramai dari kalangan cerdik pandai tidak memahami status fahaman ini. Sesetengah alim ulamak kita masih diulit mimpi lena tentang isu ini. Sesetengah kita pula hanya tahu mengucapkan perkataan : "..alah, ni soal khilafiyyah." Isu Wahhabiy ni kecil je...Majlis Fatwa memutuskan : Wahhabiy bukan ajaran sesat..tingkap disangka pintu..dan macam-macam lagi kenyataan. Soalnya, kenapa golongan ini suka menyesatkan umat Islam dengan perkara khilaf. Insya Allah, saya akan buktikan pada anda semua bahawa isu Wahhabiy bukan sekadar khilafiyyah furu'iyyah. Sebaliknya isu yang berkait rapat dgn soal akidah, syariah, fakta sejarah, akhlak, perpaduan ummah dan keselamatan negara.

Pembaca budiman, anda perlu sedar bahawa terdapat beratus-ratus kitab menjelaskan kekeliruan Wahhabiy. Diantara ulamak terkemuka yang menulis dan menjelaskan tentang Wahhabiy ialah : Imam Ibn ‘Abidin, Imam Ibn Humayd al-Hambali (mantan Mufti Hambali di Makkah), Syeikh Sayyed Ahmad Zaini Dahlan (Mantan Mufti Syafi’iyyah di Makkah), Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab (abang pengasas Wahhabiy), Imam Habib Abdullah Alawi al-Haddad, Syeikh Muhammad hayat al-Sindi, Syeikh Abd Rahman al-Kuzbari, al-Musnid Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Muhammad Zahid al-Kautsari, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari , Syeikh al-Musnid Muhammad Yasin al-Fadani dan ramai lagi.

Antara ulamak besar kontemporari yang menempelak sikap pelampau Wahhabiy ialah : Syeikh Umar Hasyim (mantan Rektor al-Azhar), Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir- Mufti ini sendiri pernah ditumbuk pelampau Wahhabiy dalam satu masjid selepas beliau mengatakan harus menyambut maulid Nabi SAW) sebahagian besar ulamak al-Azhar al-Syarif, Dr Yusof al-Qardawi (Qatar) Syeikh Yusuf Hasyim al-Rifaie (Kuwait),Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Ahmad 'Ajour (Lubnan) Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nuh al-Qudah (Mufti Jordan), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan) Syeikh Nuh Keller (US) Syeikh Salim Ulwan al-Hasani (AUS), Syeikh Wahbah Mustafa al-Zuhaili, Syeikh Usamah Sayyid (Mesir), Syeikh Mutwalli Sya’rawi (Mesir), Syeikh Mahmud Said Mamduh (UAE),Syeikh Gibril Fuad al-Haddad, Syeikh Ibrahim al-Kattani, Habib Umar al-Hafiz, Habib Anis al-Musawa (Yaman) dan ramai lagi.Di nusantara pula sebahagian besar ulamak yang beraliran tradisi-talaqqi menolak fahaman Wahhabiy.
Antara ulamak nusantara yang mengkritik keras fahaman Wahhabiy ialah :1) Syeikh PaK Da Eil al-Fathani dan sebahagian besar ulamak Fathoni2) Syeikh Abdullah Fahim3) Syeikh Hj Yahya Kupang4) Syeikh Ahmad bin Muhammad Zayn al-Fathoni5) Tok Kenali, Syeikh Abdullah Tahir Bunut Payung,Tok Selehong, Tok Pulau Pisang, Tok Ku Paloh6) Syeikh Abdullah Fahim, Habib Ali al-Jufri, Habib Anis Solo (Indon)7) Syeikh Pak Chu Him Gajah Mati, Tn Guru Hj Lah Lubok Tapah, Tn Guru Hj Hasyim, Pasir Tumboh8) Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh Habib Noh9) Syeikh Alwi binTohir al-Hadd, Kiyai Hj Sirajuddin Abbas, Syeikh Mustafa Suhaimi DLL10) Para Mufti dari Brunei, Singapore, Kemboja, MUI, Mufti Malaysia (kecuali Perlis) semuanya menolak Wahhabiy.

Hakikat ini diketahui semua termasuklah bagi mereka yang bertindak sebagai pendakwah Wahhabiy. Namun, terpulang bagi mereka samada mendustakan hakikat atau terus ingin menggunakan metodologi wahhabiy bagi menyanggah fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah arus perdana : akidah (Asyairah/maturidiyyah), feqah (mazhab jumhur ulamak) atau tasawwuf (Sufi yang Haq). Atau mereka juga tetap ingin bersikap keras kepala dengan para alim ulamak Sunni di atas.

Semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa tiada yang misteri dalam fahaman Wahhabiy. Istilah "Misteri" sepatutnya dilabelkan kpd sesiapa yang bersungguh2 memperjuangkan Wahhabiy. Ia merentasi sempadan kaum, masa, tempat dan keadaan. Soalannya, Jika intisari fahaman ini benar, kenapa ada pertentangan dengan mazhab. Jika fahaman ini tidak bermasalah, kenapa para ulamak muktabar mengkritik fahaman ini dengan kritikan yang keras. Kita hairan..dalam negara umat Islam, kenapa golongan ini sanggup menghabiskan duit yang banyak, menggunakan saluran kedutaan dan bermati-matian menyebarkan Wahhabiy di negara ini.

Lebih parah lagi, apabila sebahagian dari mereka yang berfahaman Wahhabiy mempengaruhi orang politik dan kenamaan. Sebahagian pula mengambil tempat strategik dalam jawatan awam. Dalam sesetengah keadaan..mereka bertaqiyyah (menyembunyikan fahaman). Tetapi bila mereka memiliki kekuatan..mereka mula cuba mempengaruhi kita dengan dakyah dan pengaruh politik mereka. Ini satu misteri yang perlu dibongkar. Semoga kita semua sedar akan bahaya fahaman ini. Dan selamatkanlah umat ini dari huru-hara agama

baca lagi......

Selasa, 18 Januari 2011

Kesan Penglibatan Guru Dalam Politik



Kerajaan telah membuat pindaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah(guru-guru) Gred DG41 hingga DG 48 untuk bergiat aktif dalam politik mulai 1 Ogos 2010. Ini bermakna bahawa 190,000 guru siswazah seluruh negara diberi kebenaran bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Pengumuman in telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Pindaan ini dibuat kononnya bertujuan untuk mengembalikan tugas yang pernah diamanahkan kepada guru-guru seperti pada zaman awal kemerdekaan dahulu. Allahyarham Tun Ghafar Baba dan rakan seangkatan dengannya telah berperanan secara berkesan dalam politik tanah air selepas kemerdekaan.


Isu halangan terhadap kakitangan kerajaan daripada terlibat dalam politik bermula dalam negara kita ketika Dato Onn Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor dalam masa yang sama mahu menubuhkan UMNO dan terlibat secara aktif dalam politik. Maka berlakunya konflik kepentingan antara British dan Dato Onn. Dato Onn mahu terlibat dalam UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Dato Onn tidak mahu orang Melayu terus dijajah. British pula tidak senang dengan tindakan Dato Onn yang selalu berselisih pendapat dengan mereka. Akhirnya British memutuskan kakitangan kerajaan tidak boleh terlibat dalam politik. Dato Onn telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor dan kemudian terlibat secara aktif dalam politik UMNO.


Matlamat Pindaan


Persoalannya, mengapa baru sekarang pindaan ini dibuat dan apakah justifikasinya terhadap kelangsungan kuasa parti pemerintah UMNO dan Barisan Nasional? UMNO menghadapi masalah ketandusan kepimpinan berkualiti di peringkat akar umbi. Pada masa kini terdapat ramai para usahawan dan kontraktor sahaja yang mengisi jawatan-jawatan penting di peringkat tersebut. Tidak dinafikan pejuang-pejuang UMNO di peringkat awal penubuhannya adalah terdiri daripada guru-guru. Mereka adalah golongan yang berpendidikan dan sangat rapat dengan masyarakat. Hujah kerajaan terhadap pindaan peraturan ini juga nampak meragukan dan dilihat lebih untuk menyelamatkan UMNO. Pada zaman awal penubuhannya, UMNO ditunjangi oleh bangsawan di peringkat atasan dan guru-guru diperingkat akar umbi. Parti selain UMNO mempunyai pasaran yang berbeza. PAS sebagai contoh didokong oleh para Ulama diperingkat awal penubuhannya manakala DAP didokong oleh kalangan profesional. MCA pula didokong oleh kumpulan usahawan Cina. Oleh kerana kerajaan menggunakan hujah guru sebagai tunggak kepada UMNO semasa era kemerdekaan maka rakyat boleh faham bahawa UMNO memerlukan sentuhan semula guru-guru bagi menyegarkan kepimpinannya. Matlamat pindaan ini pun bias kepada kepentingan kelangsungan kuasa UMNO yang semakin terhakis sekarang. Adapun lain-lain matlamat itu hanyalah penyedap rasa sahaja bagi menghalalkan keputusan kerajaan sahaja.


Terdapat perbezaan yang jelas umpama langit dan bumi di antara UMNO pada era kemerdekaan dengan UMNO yang dipimpin oleh generasi kedua kelompok bangsawan sekarang ini. Semasa awal penubuhannya UMNO bergerak bersama denyut nadi rakyat demi memperjuangkan nasib mereka. Bermula daripada buah fikiran, semangat, halatuju sehinggalah ke peringkat perlaksanaannya UMNO tidak lekang daripada mahu mendekati rakyat. Bukti kesungguhannya apabila Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj, Presiden UMNO yang kedua telah menjual beberapa buah banglonya di Pulau Pinang bagi menampung kos menuntut kemerdekaan. Apabila rakyat melihat kesungguhan pemimpin UMNO maka hati rakyat menjadi hiba lalu apa yang ada ditangan diserahkan kepada perjuangan UMNO. Gelang, duit, jam tangan semuanya diserahkan kepada perjuangan UMNO, perjuangan rakyat pada masa tersebut. Namun segalanya telah berubah sejak Tun Dr Mahathir mengambil alih kepimpinan negara. Dasar penswastaan ditambah dengan hasil petroleum yang lumayan menjadikan UMNO lupa daratan. Semangat seperti era kemerdekaan sudah tidak ada lagi dalam UMNO. Peranan ini telah diambil alih oleh PAS. Apabila Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat membacakan ayat-ayat Al-Quran berkenaan kelebihan berjihad, rakyat tidak kira parti politik menyumbang kepada perjuangan rakyat. Itu hakikat yang telah berlaku. Allahyarham Tan Sri Mohammad Rahmat sendiri merakamkan dalam bukunya, detik-detik mengaibkan ketika UMNO dibatalkan. Semasa mesyuarat penubuhan UMNO (Baru), Tun Daim menggunakan songkoknya untuk memungut derma bagi penubuhan UMNO (Baru). Alangkah terkejutnya Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat apabila duit derma yang dikutip hanya dapat berjumlah RM274 termasuk RM50 duit beliau sendiri. Itu derma daripada hulubalang-hulubalang UMNO termasuk Tun Dr Mahathir yang dianggap kedekut oleh Allahyarham.

Perubahan yang berlaku dalam UMNO amat membimbangkan pemimpin UMNO sendiri. Tun Dr Mahathir sendiri telah menyatakan betapa UMNO telah busuk sampai ke usus. Tun Musa Hitam pun pernah berkata UMNO sudah terlalu tua. Tiada ubat kepada penyakit tua kecuali mati. Rasuah adalah menjadi punca utama mengapa UMNO dilihat busuk sampai ke usus. Rasuah bukan berlaku dalam peringkat tertinggi sahaja tetapi sudah sampai ke peringkat bahagian dan cawangan. Hampir tidak ada ahli UMNO yang tidak dapat terlepas daripada wabak ini. Dalam keadaan kekalutan seumpama ini apalah yang boleh dilakukan oleh para guru yang berada di bawah. Guru-guru boleh berperanan seperti zaman awal kemerdekaan kerana perjuangan UMNO adalah perjuangan rakyat. Guru-guru yang berhati mulia ini sudah tentu tidak boleh bersama UMNO lagi kerana UMNO sudah busuk menanti masa untuk dikafan dan ditalkinkan. Kalaupun ada guru yang tertarik dengan UMNO, tidak tahu berapa lama mereka boleh bertahan dengan prinsip menolak politik wang. Bagaimana guru-guru boleh tahan dengan godaan politik wang jika Ketua Cawangan, Ketua Bahagian, Ahli Majlis Tertinggi, Naib-naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden sendiri menabur wang semasa pemililihan. Orang UMNO kata “No Money – No Talk”. Guru-guru yang dibawa masuk akan disisihkan oleh UMNO sendiri jika mereka bertegas dengan prinsip menolak politik wang. Apa yang dikuatiri, guru-guru yang bersih umpama kain putih ini akan dicorakkan oleh politik wang yang ada dalam UMNO. Akhirnya rosaklah guru-guru ini akibat perbuatan UMNO. Secara mudah rakyat boleh beranggapan kerajaan membuka peluang guru berpolitik adalah untuk mengisi kekosongan kepimpinan berkualiti UMNO di peringkat cawangan-cawangan. Bukanlah untuk kepentingan negara. Kehadiran guru-guru ini diharap boleh memanjangkan kelangsungan UMNO menjadi parti pemerintah.


Kesan Kepada Pendidikan Negara


Rakyat Malaysia memahami bahawa tugas guru di sekolah semakin hari semakin mencabar. Kenakalan pelajar sekolah sungguh menakutkan. Pergaduhan, hubungan seks, anak luar nikah, dadah, buli, peras ugut dan segala macam masalah anak muda remaja ini berada di sekolah sekarang. Ibubapa menjadi resah dengan perkembangan yang berlaku. Dasar pendidikan yang sering berubah-ubah juga menambah beban kepada para guru. Tidak dapat dinafikan pendidikan yang baik mestilah sentiasa responsif dengan perubahan zaman tetapi perubahan yang dimaksudkan ada kalanya tidak menguntungkan mana-mana pihak kecuali kroni sahaja contohnya isu Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar dibuat secara tergesa-gesa akhirnya terpaksa dimansuhkan dengan melibatkan kerugian jutaan ringgit duit rakyat. Dasar-dasar yang lemah inilah yang telah banyak membebankan guru-guru. Akhirnya guru-guru terpaksa membuat semua kerja di sekolah, daripada merangka bentuk pengajaran dan pentadbiran sekolah sehinggalah tugas menghantar pelajar sakit perut balik ke rumah pun menjadi tanggungjawab mereka. Peruntukan pendidikan yang telah dipotong oleh kerajaan juga telah membebankan mereka. Ini sudah tentu menambah satu lagi tugas guru iaitu mencari dana sekolah untuk menampung keperluan sekolah. Tanggungjawab seorang guru pada masa kini umpama rojak . Persoalannya, adakah peranan dalam politik yang bakal dibenarkan ini tidak akan menambah beban yang sedia ditanggung ?


Tugas hakiki sekolah adalah untuk membentuk generasi muda negara menjadi manusia berguna. Ada pun tugas-tugas lain seperti kemasyarakatan, politik, ekonomi adalah tugas sampingan mereka. Maksudnya jika tugas mendidik telah selesai bolehlah mereka menumpukan kepada perkara-perkara lain. Guru-guru Gred DG45 hingga DG 48 adalah guru-guru yang terlibat dengan pentadbiran di sekolah contohnya Ketua Bidang, Penolong Kanan dan Pengetua sendiri. Ini bermaksud tugas guru gred tersebut sudah tersedia berat di sekolah. Jika mereka terlibat dengan politik maka tidak ada pilihan kecuali mereka terpaksa melepaskan tanggungjawab pentadbiran di sekolah. Guru-guru yang baik di sekolah akan diberi tanggungjawab besar dalam pentadbiran. Jika mereka telah terlibat dalam politik maka kerja-kerja pentadbiran sekolah terpaksa dikosongkan. Kekosongan ini akan merugikan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa kerana guru yang bekerja dengan penuh dedikasi ini telah memberikan fokus mereka kepada politik. Sungguh pun begitu, barangkali terdapat guru-guru yang sangat baik dari segi pengurusan masa dan tanggungjawabnya. Mereka yang mampu melaksanakan pelbagai kerja dalam satu masa ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk berperanan dalam politik. Dalam hal ini adalah lebih elok tahap-tahap penglibatan politik dibuat secara berperingkat seperti berperingkatnya PPSMI dimansuhkan.


Bagi membantu membangunkan masyarakat yang dilanda pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik pada masa kini, guru-guru yang berkualiti ini harus didedahkan kepada sistem sosial masyarakat negara ini secara berperingkat terlebih dahulu. Maksudnya pada tahap pertama ini guru-guru tidak perlu terlibat dalam politik kepartian tetapi cukup kepada mereka terlibat dalam aktiviti NGO dan pentadbiran komuniti di peringkat akar umbi terlebih dahulu. Cadangan ini adalah lebih sesuai dengan baki masa mereka di waktu petang dan malam. Contohnya aktiviti surau, masjid, kuil, gereja, kelab belia, aktiviti kaum ibu, kebajikan kampung, sukan, koperasi dan lain-lain lagi. Pengiktirafan yang diterima daripada kerajaan sebelum ini sangat minima sekali. Insentif-insentif yang lebih baik seperti elaun kemasyarakatan perlu di usahakan oleh pihak kerajaan bagi menjayakan agenda ini.

Masalah utama dalam penglibatan parti politik adalah pengurusan masa. Mesyuarat tergempar parti politik boleh dibuat pada jam 12 malam, kerja parti politik boleh berterusan 48 jam tanpa henti, sumbangan orang politik diperlukan tidak kira masa. Isteri yang tidak biasa dengan jadual suaminya berpolitik akan merasakan lebih terseksa daripada bermadu empat. Bayangkan tiga hingga empat hari tidak balik rumah adalah perkara biasa bagi orang politik. Orang politik tidak pernah rehat kecuali mati. Ringkasnya jadual mereka sangat sukar untuk disusun. Kalau disusun pun boleh berubah pada bila-bila masa. Oleh itu adalah lebih baik guru-guru ini diberi pendedahan yang semaksimanya dalam aktiviti kemasyarakatan terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam politik. Adapun mereka yang telah lama terlibat dalam politik, sudah memahami selok belok dalam dunia politik yang dibuat secara senyap-senyap sebelum ini bolehlah diberi peluang dengan kawalan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. Kawalan ini bukan bermaksud jika guru berhaluan UMNO diberi peluang tetapi guru dari PAS, PKR atau DAP tidak diberi peluang. Kawalan yang dimaksudkan adalah kawalan bagi mempastikan prestasi sekolah tidak terjejas akibat daripada penglibatan guru dalam politik. Badan yang benar-benar dihormati dan telus perlu menilai kelayakan seseorang guru tersebut sebelum membenarkannya terlibat dalam politik.


Diskriminasi


Walaupun terdapat banyak peraturan yang memandu manusia untuk menjalankan tugas tetapi peraturan ini tidak boleh terlaksana tanpa manusia mengguna pakai peraturan tersebut . Pindaan peraturan yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan ini sangat mudah terdedah kepada diskriminasi, terutamanya melibatkan isu-isu politik. Bayangkan jika ada seorang guru yang cukup berpengaruh di Parlimen Pagoh di mana Menteri Pelajaran menjadi ahli Parlimen di sana. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan guru tersebut sebelum ini sehingga menjadikan beliau sangat berpengaruh di kalangan penduduk setempat. Kebetulannya guru tersebut daripada parti pembangkang. Kemudian guru tersebut memohon kepada pihak kementerian untuk terlibat dengan politik. Apabila dinilai dalam borang permohonannya guru ini akan bertanding di Parlimen Pagoh, apakah jaminan permohonannya akan diluluskan oleh kementerian yang secara jelas akan menjejaskan kepentingan ahli Parlimen Pagoh yang juga Menteri Pelajaran. Politik di negara belum diasaskan oleh politik kasih sayang tetapi bergerak di atas balas dendam. Pihak yang di atas akan menindas pihak di bawah. Pihak di bawah pula akan memboikot pihak yang di atas pula. Itulah putaran politik dalam negara setakat ini. Sebab itulah politik negara kita masih lagi mundur dibandingkan dengan negara-negara maju. Jika tidak ada diskriminasi terhadap politik kenapa Dato Seri Anwar Ibrahim tidak boleh berceramah dalam kawasan persendirian di Rengit, Batu Pahat? Bukankah Parlimen Batu Pahat diterajui oleh Timbalan Menteri Pendidikan Dato Fuad Zarkasi. Diskrimisasi terhadap royalti petroleum Kelantan, royalti Kerajaan Negeri Terengganu ditukar kepada wang ehsan, guru-guru yang menyokong pembangkang dihantar ke Sabah dan Sarawak, pensyarah PAS di pecat tetapi pensyarah UMNO dibenarkan bertugas dan negeri-negeri daripada Pakatan Rakyat telah ditohmah setiap hari dalam media arus perdana. Itu semua sekelumit contoh diskriminasi daripada pelbagai diskriminasi yang bermaharajarela dalam negara kita.

Apabila seseorang guru telah menjadi orang politik maka pergaulannya telah melepas sempadan tembok sekolah. Maka ramailah kenalannya dalam politik daripada ketua cawangan sampailah Presiden, daripada pegawai kerajaan sampailah menteri. Apa yang dibimbangi, kelak guru yang terlibat dengan politik boleh bersifat “besar kepala” dalam sekolah jika Menteri Pelajaran pun boleh dihubunginya pada jam 1 tengah malam. Maka ini akan menyusahkan pihak pentadbiran sekolah. Politik dalaman sekolah telah menjadi isu besar selepas guru terlibat dalam politik. Isu sebegini sememangnya menjadi masalah kerana budaya pilih kasih, kroni, rasuah dan sifat pentingkan diri sendiri masih berleluasa dalam negara kita. Maka akan berlakulah diskriminasi peruntukan sekolah berlaku selepas ini akibat daripada guru yang dibenar politik tidak sehaluan dengan pengetua. Pengetua mahu sekolah maju tetapi malangnya beliau tidak mempunyai hubungan politik yang luas . Guru yang dibenar politik bercita-cita tinggi dalam politik maka isu prestasi sekolah sudah tidak menjadi agenda penting dalam dirinya. Semua masalah ini akan berlaku disebabkan manusia tidak disetuh hatinya dengan agama. Mereka tidak meletakkan agama lebih penting daripada kehidupan dunia yang sementara ini. Bagi mengelakkan masalah disriminasi ini maka hendaklah dipastikan politik dalam negara ini kita berteraskan kepada kasih sayang mahu menjaga rakyat dan negara dengan agama. Selagi agenda ini belum berjaya maka selagi itulah masalah politik dalaman sekolah yang telah berlaku dan bertambah buruk selepas guru dibenarkan terlibat secara aktif dalam politik.

Kesimpulannya Kerajaan harus membetulkan matlamatnya untuk memberi kebenaran guru-guru berpolitik. Jika matlamat adalah untuk menyelamatkan UMNO daripada karam dalam pilihanraya ke-13 maka matlamat tersebut telah tersasar daripada landasannya yang sebenar. Jika benar niatnya untuk guru-guru terlibat dalam membentuk masyarakat di akar umbi maka lebih rasional mereka dipandu dengan insentif yang lebih menarik untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi . Bagi guru-guru mampu dan cukup memahami selok belok politik maka kebenaran melalui tapisan dan pemantauan yang ketat diperlukan. Ini penting bagi mempastikan institusi pendidikan sekolah tidak terbantut peranannya kerana guru sibuk dalam parti politik. Pendidikan politik sihat perlu dimulakan sekarang. Didik pemimpin dan rakyat menjaga negara dengan penuh kasih sayang berlandaskan agama. Pendidikan ini boleh mengelakkan diskriminasi dan politik dalam sekolah berlaku selepas ini. Akhirnya kita sama-sama mempunyai tugas yang besar terhadap agama, bangsa dan negara. Maka bergeraklah dengan bersungguh-sungguh bagi mempastikan rakyat dan negara selamat dunia dan akhirat.

baca lagi......