Jumaat, 6 Jun 2008

Kelantan VS Johor


Berikut merupakan antara ucapan pembentangan awal wakil tunggal PAS iaitu YB Dr Ramli Kari di dewan negeri Johor dalam membandingkan kerajaan yang mentadbir dua negeri ini iaitu Kelantan dan Johor.



Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Utusan Malaysia edisi 2hb. November, 2005 telah menyiarkan senarai hutang kerajaan-kerajaan negeri kepada Persekutuan. Negeri Johor adalah merupakan penghutang tertinggi dengan jumlah hutang sebanyak RM598.35 juta berbanding Kelantan yang menduduki tangga ke 11 dengan hutang hanyalah sebanyak RM46.61 juta, itupun hutang yang ditinggalkan oleh Kerajaan BN Kelantan sebelum jatuh pada tahun 1990.

Sebelum ini pernah disiarkan di dalam akhbar kenyataan yang menyatakan antara negeri yang hampir muflis adalah Negeri Johor. Walaupun YAB Menteri Besar pernah menjelaskan bahawa aset Kerajaan Negeri jauh lebih besar dari hutang tersebut tetapi bagi saya, saya tetap menyatakan bahawa tunai di tangan yang mencukupi penting bagi memastikan pengurusan kewangan negeri berada pada tahap yang mantap dan efektif. Sebagai analogi, kita mempunyai aset seperti rumah, kereta, motosikal dan sebagainya tetapi kita tidak akan menggunakan motosikal bagi membayar yuran persekolahan anak kita. Di dalam mana-mana organisasi perniagaan, pengurusan dan kawalan aliran tunai cukup penting bagi memastikan kelangsungan dan dayamaju sesuatu organisasi. Bahkan didalam membuat keputusan pelaburan, kecairan atau mudahtunai adalah salah satu dari faktor utama yang akan diberikan perhatian dan pertimbangan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Dalam Bajet 2006 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM52.273 juta untuk membayar hutang Kerajaan Negeri. Ini bermakna Kerajaan Negeri memerlukan hampir 12 tahun untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM598.35 juta kepada Kerajaan Persekutuan, itupun jika tidak ada hutang baru dibuat dalam tempoh tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Johor belajar dengan Kerajaan PAS Kelantan bagaimana menguruskan kewangan negeri secara baik. Sebagai perbandingan dalam tempoh 12 tahun pemerintahan Kerajaan BN di Kelantan dari tahun 1978-1990 hutang yang dibuat adalah sebanyak RM732 juta tetapi dalam tempoh 12 tahun Kerajaan PAS Kelantan memerintah iaitu dari tahun 1990-2002 baki hutang yang tinggal hanyalah RM25 juta. Ini bermakna Kerajaan PAS Kelantan dalam tempoh 12 tahun telah membayar sebanyak RM482 juta kepada Kerajaan Persekutuan tanpa membuat hutang yang baru. Keadaan ini juga membuktikan Kerajaan Pas Kelantan pandai berjimat cermat dan pandai membayar hutang dan bukannya pandai membuat hutang.



Dari segi hasil balak pula, dalam tahun 1986 Kerajaan BN Kelantan telah mengeluarkan konsesi balak seluas 74,275 hektar dengan hasil cukai hanyalah sebanyak RM30 juta sedangkan Kerajaan PAS Kelantan dalam tahun 1995 mengeluarkan konsesi balak seluas 35,735 hektar sahaja, tetapi hasil cukai yang dikutip adalah berlipat ganda iaitu RM103 juta. Yang Berhormat Dato’ Speaker, ini adalah contoh-contoh kecil bagaimana berkatnya negeri yang diperintah oleh seorang Ulamak yang sentiasa ingatkan hari pembalasan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Itulah sebabnya Yang Berhormat Dato’ Speaker, isu BN lebih pandai mentadbir kerajaan negeri berbanding PAS tidak laku di Pilihanraya Kecil N.12 Pengkalan Pasir, Pasir Mas, Kelantan.

p/s : saya selaku warga johor juga bersetuju dengan apa yang diucapkan oleh YB D. Ini kerana walaupun pembangunan rancak dilaksanakan oleh kerajaan negeri johor, akan tetapi hutang yang diperbaharui saban tahun juga kian bertambah. Persoalannya, bilakah waktunya kerajaan negeri Johor dapat melangsaikan hutang tersebut? 20 tahun ? 40 tahun ? ataupun 100 tahun lagi ?

Apalah gunanya aset yang banyak tetapi aliran tunai tiada di tangan.