Jumaat, 6 Jun 2008

Pengorbanan Malaysia Yang Terkorban....


Diadaptasi dari http://creamstudents.com


Pengorbanan Malaysia terhadap negara yang bernama singapura adalah lebih dari satu, dua mahupun tiga hingga terasa di fikiran saya Pulau Temasik itu sebenarnya berhutang seribu satu budi kepada Malaysia.

Apabila kisah tentang pulau batu putih ini dihangatkan, warga kedua-dua negara perlulah bersedia untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang isu2 lain yang bersangkut paut yang akan dikupas di dalam artikel ini. Ini bagi memastikan dan menyedarkan generasi terkemudian tentang sejarah perhubungan antara kedua-dua negara serta perjanjian-perjanjian yang terlibat. Pembaca sebagai hakim perlulah menjustifikasikan artikel ini berdasarkan pengetahuan serta tahap intelek yang mapan agar maksud dan intipati artikel ini dapat disampaikan dengan jelas.

Justeru itu, apakah pengorbanan BESAR Malaysia kepada Singapura?

PERJANJIAN AIR 1961 DAN 1962

Dalam perjanjian air ini, Malaysia perlu membekal bekalan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen sehari secara berterusan.Harga yang dikenakan bagi 1000 gelen air adalah bersamaan dengan 3 sen. Malaysia sebaliknya perlu membeli air yang telah diproses dari Singapura sebanyak 50 sen bagi setiap 1000 gelen air.

Loji pemprosesan air ini diuruskan oleh Public Utilities Board (PUB) dan terletak di Gunung Pulai, Skudai, Tebrau dan Kota Tinggi. Perjanjian air 1961 akan berakhir pada tahun 2011 manakala perjanjian air 1961 akan berakhir pada tahun 2061.

Semakan harga air yang dikemukakan oleh Malaysia ditolak oleh Singapura atas alasan sepatutnya semakan dilakukan pada tahun 1986 dan 1987 iaitu selepas 25 tahun dari tarikh perjanjian berkuatkuasa dan bukan selepas dari tarikh tersebut. Dan sehingga ke hari ini, Singapura membuat keuntungan yang besar hasil dari penjualan air Malaysia ini kepada kapal2 yang berlabuh di pelabuhan negara berkenaan.

PERJANJIAN AIR 1990

Mengikut perjanjian ini, Malaysia perlu mengorbankan hutan simpan seluas 21,600 hektar yang terletak di Daerah Kluang, Kota Tinggi dan Mersing bagi dijadikan kawasan tadahan air. Di kawasan tersebut juga didirikan sebuah empangan yang dikenali sebagai empangan Linggiu bagi Singapura. Kawasan ini merupakan kawasan yang strategik dari segi keselamatan kerana koordinat sifar berada di lokasi tersebut.Perjanjian ini akan berakhir pada tahun 2061.

PENUTUPAN PENGKALAN TLDM DI WOODLANDS

Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodlands yang telah beroperasi selama hampir 45 tahun terpaksa ditutup kerana kerajaan Singapura tidak lagi berhasrat untuk menyambung tempoh pajakannya yang berakhir pada awal tahun 1998, ada juga desas desus dan cadangan bahawa jika tempoh pajakan disambung,maka sewanya akan dinaikkan sehingga 3 kali ganda. Oleh itu Pusat Latihan Rekrut TLDM terpaksa dibina di Kota Tinggi dengan kos RM195 juta.

ISU PEMBANGUNAN TANAH REZAB KTM DI SINGAPURA

Mengikut satu perjanjian pada tahun 1990 iatu perjanjian Malaysia-Singapura Points of Agreement(POA), Keretapi Tanah Melayu (KTM) perlu mengosongkan Stesen Keretapi Tanjong Pagar dan ia perlu beralih ke Stesen Keretapi Bukit Timah.

Tanah KTM di sepanjang laluan dari Bukit Timah hingga ke Tanjong Pagar perlu diserahkan kembali kepada Singapura manakala tanah KTM di Tanjong Pagar seluas 12 hektar yang terletak di dalam zon perdagangan utama Singapura akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60% Malaysia dan 40% Singapura.

Keluasan asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen keretapi di Tanjong Pagar mengikut ‘Singapore Railway Transfer Ordinance,1918′ sebenarnya adalah 200 hektar(494 ekar) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun.

ISU PULAU BATU PUTIH

Tahun 1994, berlakunya satu pertindihan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih yang juga dikenal sebagai ‘Pedra Branca’ oleh Singapura telah dirujuk kepada International Court of Justice (ICJ).

Pihak Singapura telah mentadbir rumah api di atas pulau tersebut dengan kawalan tenteranya semenjak dari tahun 1850. Nelayan Malaysia tidak dibenarkan menghampiri pulau tersebut bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa belum membuat keputusan tentang pemilikan Pulau Tersebut.

ISU PULAU PISANG

Pulau Pisang terletak di Selat Melaka dan merupakan milik MAlaysia. Singapura semenjak dahulu sehingga sekarang masih menjaga operasi rumah api yang terdapat di atas pulau tersebut dengan kawalan tenteranya tanpa melalui pemeriksaan kastam dan imegresen Malaysia. Adilkah begitu ?

ISU CENTRAL PRIVIDENT FUND (CPF)

Isu CPF atau kumpulan wang simpanan pusat milik warga Malaysia yang bekerja di Singapura sehingga sekarang belum selesai. Hanya warga Malaysia dari Sabah dan Sarawak yang boleh mengeluarkan wang CPF manakala yang berasal dari semenanjung tidak dibenarkan walaupun telah berhenti kerja. Mereka hanya dibenarkan mengeluarkan wang CPF setelah mencapai usia 55 tahun. Pada masa sekarang, terdapat hampir 100,000 orang pekerja Malaysia masuk bertugas setiap hari di Singapura.

ISU PENAMBAKAN LAUT

Banyak kesan negatif serta kerugian terhadap Malaysia yang terhasil akibat daripada tindakan Singapura melakukan penambakan laut bagi membesarkan wilayahnya khususnya di Pulau Tekong. Antara kesan negatif yang terhasil daripada tindakan ini adalah penyempitan Selat Tebrau menyebabkan arusnya menjadi laju dan mengakibatkan hakisan pantai di perairan Malaysia. Disamping itu, aktiviti penambakan ini juga menjejaskan ekologi hidupan laut yang akhirnya akan menjejaskan pendapatan nelayan pesisiran pantai Malaysia.

Kerja menambak ini telah membesarkan saiz Singapura sedia ada iaitu 690km persegi kepada 1.5 lebih besar dari saiz asalnya.

ISU PENCEROBOHAN RUANG ANGKASA JOHOR

Kebenaran penggunaan ruang udara antara Malaysia dan Singapura telah dibatalkan pada 18 September 1998. Sungguhpun demikian, banyak kali insiden melibatkan pencerobohan ruang angkara negeri Johor dilaporkan terjadi.

Dalam tahun 2002 sahaja, terdapat 5 kejadian dimana ruang angkasa negeri Johor telah diceroboh oleh jet-jet pejuang Tentera Udara Singapura atau lebih dikenali sebagai RSAF terjadi.Namun setakat ini belum ada permohoman maaf secara rasmi yang dilakukan oleh kerajaan Singapura apabila insiden pencerobohan secara haram ini berlaku.

ISU JAMBATAN BENGKOK

Isu ini merupakan antara isu yang agak popular suatu ketika dahulu. Namun kepopularannya telah bersemadi kini kerana pihak yang bertanggungjawab telah berjaya mengelabui pandangan mata dengan menimbulkan isu-isu panas lain yang hangat di pasaran. Sungguhpun sedemikian, hal ini tidak wajar dilupakan dengan begitu sahaja kerana ianya telah menyebabkan kerugian yang amat besar kepada Malaysia.

Atas desakan dan pressure daripada kerajaan Singapura, YAB Perdana Menteri sekarang melakukan satu tindakan pelik tetapi benar (antara ciri2 sejarah adalah pelik tapi benar) dengan membatalkan pembinaan Jambatan Bengkok yang telah dipersetujui semasa mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir berkuasa satu ketika duhulu.

Perlu diingatkan disini bahawa pembinaan Jambatan Bengkok adalah KESELURUHANNYA berlaku didalam perairan Malaysia.Justeru tindakan YAB itu seolah olah tindakan meludah ke langit dan hanya membawa kerugian semata-mata kepada negara.

Akibat daripada pembatalan tersebut, kerajaan terpaksa mebayar ganti rugi kepada Syarikat Gerbang Perdana Selatan Bersepadu (GPSB) sebanyak RM 257.4 juta! Perlu diingatkan di sini bahawa duit ganti rugi tersebut merupakan hasil lelah dan peluh rakyat yang menyumbang kepada cukai bukannya disedekahkan oleh perdana menteri serta juak-juaknya.

Justeru, tindakan ini adalah satu tindakan pembaziran yang wajar diberi perhatian sepanjang masa kerana tanggungjawab mengingatkan adalah terletak di bahu rakyat dalam memperhatikan tindak tanduk mereka yang berkuasa agar tidak melebihi had dan garis panduan yang ditetapkan.

Popularity: 17% [?]